Sep 26, 2012

INSTRUMEN HIBAH DAN WASIAT ANALISIS HUKUM DAN APLIKASI DI MALAYSIA Oleh Mohd Zamro Muda

INSTRUMEN HIBAH DAN WASIAT
ANALISIS HUKUM DAN APLIKASI DI MALAYSIA

Oleh Mohd Zamro Muda
Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

PENDAHULUAN

Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat. Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia bo leh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. Melalui hibah dan wasiat juga dapat membantu kaum kerabat yang
memerlukan bantuan. Terdapat tanggapan bahawa dengan melakukan hibah dan wasiat maka dia telah menyalahi ketepatan hukum faraid. Tanggapan ini tidak tepat kerana kedua-dua instrumen ini juga sebenarnya diberi fokus dan tempatnya yang tersendiri di dalam Islam. Justeru kertas ini cuba mengupas isu-isu berkaitan dengan hibah dan wasiat dari segi hukum hakam dan aplikasinya di Malaysia.

BAHAGIAN A - HIBAH

1. KONSEP HIBAH DALAM ISLAM

1.1 Pengertian Hibah
Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:
(i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii) Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii) Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v) Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.


1.2 Hukum dan Pensyariatan Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” 
(Surah al-Nisa’ ayat 4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya” 
(Surah al-Baqarah ayat 177).

1.3 Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
*Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
*Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
*Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
*Ia boleh diserah milikkan.
*Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang   belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.
*Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau
peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
*Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
*Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
*Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.

Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.

Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul engan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.

1.4 Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.

Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut: 

*Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
*Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
*Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima hartahibah bagi pihaknya.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta lain.

1.5 Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima hibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad). Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut: 

(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).
(ii) Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta
itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. 

Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik
muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim.

Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.

1.6 Kadar Harta yang Boleh Dihibah

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.

Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.
Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.

Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.

1.7 Hibah pada Masa Marad al-Mawt

Perkataan marad al-mawt bermaksud sakit yang boleh menyebabkan kematian. Syarat-syarat berikut diperlukan bagi menentukan marad al-mawt, iaitu: 

*Penyakit itu yang menyebabkan kematian si mati.
*Penyakit itu menyebabkan kecemasan kematian dalam fikiran si mati.
*Terdapat tanda-tanda luar yang menuntukkan bahawa penyakit itu berat.

Dalam Perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, istilah marad al-mawt bermaksud sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu masa satu tahun sama ada dia terlantar atas tilam (katil) atau sebaliknya. Sekiranya keadaan sakit tersebut berterusan dan telah berlalu masa satu tahun, maka hukumnya sama seperti
orang sihat, ertinya segala urusannya (tasarruf) sama seperti urusan orang sihat selagi sakit itu tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Tetapi sekiranya penyakit itu bertambah berat (serius) dan keadaannya telah berubah dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka keadaan (daripada waktu berlaku perubahan sehingga kematiannya) sakit itu dianggap sebagai marad al-mawt.

Daripada definisi di atas, perkataan marad al-mawt mempunyai ciri-ciri berikut: 

-Sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
-Kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun atau selepas masa satu tahun (dalam keadaan penyakit itu bertambah berat).
-Sesuatu penyakit itu boleh melupakan dan melalaikan seseorang pesakit itu daripada kepentingan yang bersifat keduniaan.

Hibah pada masa marad al-mawt ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian itu melibatkan dua jenis undang-undang iaitu undang-undang hibah dan wasiat. Sekiranya pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian itu, maka pemberian itu samalah seperti pemberian melalui wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat iaitu:
-Pemberian itu tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati.
-Pemberian itu tidak diberikan kepada waris kecuali waris-waris lain telah bersetuju.

Walau bagaimanapun, jika pemberi hibah itu hidup maka pemberian itu termasuk di dalam hukum hibah dan tertakluk kepada hukum pemberian semasa hidup iaitu penyerahan hak pemunyaan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah.

Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah juga telah menerangkan babarapa perkara yang berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad al-mawt, antaranya: 

-Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
-Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau sebaliknya pada masa marad al-mawt dan hibah itu telah diterima, sedangkanmereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
-Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada waris pada masa marad al-mawt dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879).

1.8 Hibah dalam Bentuk al-‘Umra dan al-Ruqba (Hibah Bersyarat)

Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberihibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.

Manakala al-ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu pihak yang hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia. Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk kamu”.

Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang. Majoriti ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah ‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal. Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu sendiri. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”.

Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah. Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat
sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang telah mengharuskan hibah ‘umra dan membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba adalah hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan terlaksana.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ mengenai hibah ‘umra dan hibah ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang. Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha’. Mazhab yang mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau ruqba”.

Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis yang bermaksud:
“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”.

2. APLIKASI HIBAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai undang-undang hibah yang dikanunkan. Ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak pernah meluluskan statut khusus mengenai hibah orang Islam untuk dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah. Setakat yang ada hanyalah peruntukan yang menjelaskan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenainya termasuk dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan
bahawa: 

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah
bukan khairat; Wakaf dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, pelantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu”.

Peruntukan di atas menunjukkan bahawa hibah adalah sebahagian daripada perkara negeri yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan itu, Seksyen 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan:

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan 
dengan-
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

Penggunaan perkataan “alang” sama ada semasa marad-al-maut atau semasa hidup dan “penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian. Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Sementara itu, Negeri Sembilan menggunakan perkataan “hibah”, Pahang dan Perlis menggunakan perkataan “pemberian” dan Kelantan menggunakan perkataan “alang hayat”

Daripada peruntukan di atas, didapati pelaksanaan hibah bukan sahaja diperuntukkan di dalam undang-undang di Malaysia semasa hidup pemberi hibah, malah hibah semasa marad al-mawt juga ada diperuntukkan. Kes-kes hibah di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia, selalunya melibatkan pengesahan hibah, pertikaian takat atau kadar hibah dan penarikan balik hibah.

Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-lain [1999] XIII(I) JH 63, melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh plaintif ke atas sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif adalah antara lain, untuk mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda bin Tahir) kepada mereka. Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah mensabitkan bahawa tanah itu menjadi milik sah plaintif-plaintif berdasarkan takat yang telah disebutkan. Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah memutuskan bahawa tuntutan plaintif-plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas tanah tersebut adalah benar dan berpuashati di atas kebenaran tuntutan itu lalu memberikan keputusan bahawa telah sabit hibah si mati kepada plaintif-plaintif.

Dalam kes di atas juga, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa berlakunya hibah walaupun qabul berlaku secara perbutan iaitu selepas berlakunya ijab harta itu telah dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh defendan. Sebaliknya, dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH 79 Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam Pulau Pinang berpendapat bahawa hibah tidak sah walaupun qabul kepada ijab sudah berlaku secara perbuatan. Dalam penghakiman kes ini,
Mahkamah telah mengemukakan beberapa soalan. Isu pertama yang dibangkitkan ialah apakah dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah. Mahkamah mendapati bahawa rukun pemberi hibah, penerima hibah dan barang yang dihibahkan telah mencukupi syarat-syarat yang telah dikehendaki oleh hukum syarak. Namun demikian, bagi rukun sighah pula Mahkamah mendapati bahawa ia belum terlaksana dan belum sempurna, yang berlaku hanyalah ijab daripada Che Mat sahaja dan tidak ada qabul daripada defendan sama ada secara lisan atau tulisan. Dengan demikian, Mahkamah berpendapat hibah Che
Mat kepada defendan tidak sah oleh sebab rukun sighah belum terlaksana dan belum sempurna.

Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah tidak mengiktiraf penggunaan dan pembangunan yang telah diusahakan ke atas tanah tersebut oleh defendan dengan mendirikan sebuah rumah sebagai qabul. Namun demikian, antara alasan lain Mahkamah tidak mengesahkan hibah tersebut ialah kerana penggunaan dan pembangunan yang diusahakan ke atas tanah tersebut dilakukan sebelum keizinan diberi oleh pemberi hibah. Ini kerana menurut pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, syarat pengambilan barang/harta yang dihibahkan
adalah dengan keizinan pemberi hibah.

Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn Che Aminah binti Abdul Razak dan Dua Yang Lain [2004] XVIII(I) JH 47, isu yang timbul ialah adakah qabul disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian atau cukup dengan qarinah-qarinah lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemeberi hibah telah meninggal dunia dan tidak ada penarikan balik hibah. Hibah tersebut juga telah disaksikan oleh saksi-saksi, namun bangunan yang dipertikaikan sebagai harta hibah masih menggunakan nama si mati. Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah menerima rayuan yang dibuat oleh perayu-perayu berdasarkan kepada qarinah penerimaan daripada penerima, di mana ketiga-tiga penerima hibah mengaku bahawa mereka telah menerima hasil sewaan bangunan tersebut sejak si mati masih hidup. Apa yang menarik dalam kes ini ialah pandangan Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu iaitu: 

Diandaikan jika pemberian tersebut telah bertukar kepada nama penerima-penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa kepada mahkamah, kerana segala-galanya telah jelas dan tercatat dalam dokumen”.

Berdasarkan kepada keterangan kes-kes di atas dan banyak lagi kes-kes yang lain, sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada is dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu atau peguam. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas kematian pemberi hibah.

Kini setelah muncul pelbagai agensi yang terlibat dalam soal penulisan hibah maka dengan itu timbul pelbagai cara yang dilakukan oleh agensi-agensi berkenaan dalam memperkembangkan ruang lingkup hibah seperti trust hibah. Trust hibah ialah kacukan antara hibah dan amanah. Ia adalah pemberian harta oleh seseorang atas dasar kasih sayang yang berlaku ijab dan qabul pada masa hayat pemberi hibah. Harta hibah tersebut akan dipegang oleh pemegang amanah dan diserahmilikkan kepada penerima selepas kematian pemberi hibah atau menurut persetujuan pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan hibah yang dibuat oleh pemberi hibah untuk memastikan dia masih menguasai hartanya tersebut kerana dia khuatir mungkin penerima akan mengabaikannya apabila semua harta telah dihibahkan. Maka dalam hal ini pemberi hibah telah membuat satu perjanjian asing di luar akad yang memberi hak kepada pemberi mengurus dan menggunakan harta tersebut sehinggalah dia meninggal dunia.

Apa yang dinyatakan di atas adalah lebih hampir dengan apa yang dikatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-56 pada 5 Oktober 2000 memutuskan bahawa perletakan syarat adalah dibenarkan di antara pemberi dan penerima hibah setelah berlaku ijab dan qabul. Begitu juga dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dalam mesyuarat ke-44 pada 15 Januari 2003 menerima pakai prinsip hibah ruqba sebagai asas syariah dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama tabung unit amanah terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.

Dari perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa suatu undang-undang yang khusus berkaitan dengan pemberian hibah dan pentadbirannya amatlah diperlukan. Dengan adanya undang-undang yang khusus dapat mengurangkan kekeliruan dan dapat menegakkan kewibawaan Mahkamah Syariah dan mengukuhkan kredibilitinya dalam masyarakat apabila memutuskan soal yang berkaitan dengan hibah. Di samping itu, pada masa yang sama, ia boleh menjadi panduan kepada masyarakat yang ingin membuat hibah secara peribadi agar hibah yang dibuat itu menjadi lebih sempurna, atau dengan kata lain, masyarakat dapat menguruskan hartanya dengan cara yang lebih teratur dan kemas.

BAHAGIAN B - WASIAT

1. KONSEP WASIAT DALAM ISLAM

1.1 Definisi Wasiat

Dari segi bahasa, wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahasa ia berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semas hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut Abdul Karim Zaydan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat. Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.

Bagi negara-negara yang telah menyediakan undang-undang wasiat seperti Mesir dan Syria telah membuat peruntukan yang jelas tentang definisi wasiat iaitu tasarruf pada harta pusaka yang disandarkan selepas kematian. Manakala Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, wasiat ialah iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan hukum syarak, selepas dia mati.

Makna yang hampir sama juga terdapat dalam Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 iaitu iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas jelas bahawa wasiat yang dibuat oleh seseorang hanya berkuat kuasa selepas berlakunya kematian pewasiat. Dengan ini juga, wasiat adalah berbeza dengan cara pemilikan harta yang lain seperti jual beli, hibah dan ijarah. Justeru itu, wasiat dianggap selesai apabila adanya ijab (penawaran) daripada pewasiat, sedangkan qabul (penerimaan) tidak diperlukan semasa pewasiat masih hidup dan ia hanya diperlukan selepas pewasiat meninggal dunia.

1.2 Pensyariatan Wasiat 

Wasiat disyariatkan melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Pada peringkat permulaan Islam, seseorang itu diperintahkan berwasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 180yang bermaksud: 

“Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.

Namun kebanyakan para sahabat antaranya Saidina Abu Bakar, Ali, Ibn Umar dan Mazhab Sunni yang empat termasuk Imam Syafie berpendapat bahawa hukum wajib ini telah dimansuhkan dengan turunnya ayat-ayat al-Mawarith (ayat 11, 12, dan 176 surah al-Nisa’) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian-bahagian yang telah ditetapkan ke atas waris-waris dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu, perintah wajib tersebut telah dimansuhkan namun perbuatan wasiat itu menjadi suatu perbuatan yang digalakkan (disunatkan) masih kekal dan sebaik-baiknya hendaklah wasiat itu ke atas keluarga yang miskin atau anak-anak yatim yang tidak berhak mendapat harta pusaka.

Firman Allah S.W.T lagi dalam surah al-Ma’idah ayat 106 yang bermaksud: 

“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kamatian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian”.

Terdapat juga hadis-hadis yang menggalakkan seseorang itu membuat wasiat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Tiada hak (patut) bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya” 
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas bahawa langkah berhati-hati perlu dilakukan iaitu dengan menulis wasiat kerana seseorang itu tidak tahu bila ajalnya kan tiba. Kemungkinan kelalaiannya boleh mengakibatkan segala hajatnya tidaka akan tercapai. 

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunnah dan dia mati sebagai seorang yang bertaqwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan” 
(Hadis riwayat Ibn Majah).

Dari amalan para sahabat menunjukkan mereka berwasiat dengan sebahagian harta mereka dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah. 

Menurut satu riwayat daripada Abdul Razak sesungguhnya Anas r.a berkata yang bermaksud: 

“Mereka (sahabat) menulis pada wasiat mereka: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ini adalah wasiat fulan bin fulan bahawa dia bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagiNya. Dia juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Dia juga bersaksi bahawa hari kiamat pasti akan tiba dan Allah akan membangkitkan manusia dari kubur. Dia mewasiatkan ahli keluarganya yang masih tinggal agar takutkan Allah dan saling memelihara hubungan mereka. Hendaklah
mereka mentaati Allah dan rasulNya sekiranya mereka orang-orang yang beriman. Dia mewasiatkan mereka sebagaimana wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub kepada keturunan mereka...”.

Dari segi ijmak, telah berlaku ijmak di kalangan para fuqaha’ Islam semenjak dari zaman sahabat bahawa wasiat adalah harus dan tidak pula diriwayatkan bahawa ada di kalangan mereka yang menolaknya.

1.3 Hukum Berwasiat 

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa pada peringkat permulaan Islam hukum berwasiat adalah wajib (lihat ayat 180 Surah al-Baqarah), namun hukum berkenaan telah dinasakhkan oleh ayat al-mawarith (ayat 11, 12, dan 176 Surah al-Nisa’). Walau bagaimanapun, amalan wasiat masih lagi digalakkan dengan had maksimum 1/3 hartapusaka dan ditujukan kepada bukan waris.

Mengikut pendapat mazhab sunni yang empat dan al-Zaidiyyah bahawa sesungguhnya wasiat itu tidak difardukan ke atas setiap orang yang mempunyai harta dan tidak juga difardukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris, akan tetapi hukumnya adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, contohnya seperti berikut:

Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain. 

Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah. 

Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.

Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta. 

Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.

1.4 Rukun dan Syarat Wasiat 

Wasiat mempunyai rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pewasiat (Musi)
Pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan dengan pilihan sendiri serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan.

Menurut Seksyen 6, Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 memperuntukkan bahawa seorang pewasiat hendaklah telah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal, bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa serta tidak dilarang daripada menguruskan hartanya.

(ii) Penerima wasiat (Musa lahu)
Penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali).

Penerima wasiat juga boleh terdiri daripada golongan fakir miskin, ulamak, masjid, sekolah dan sebagainya yang berbentuk umum dan tidak dikhususkan, tetapi wasiat tersebut bukanlan bertujuan maksiat.

(iii) Harta yang diwasiatkan (Musa bihi)
Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan).

(iv) Sighah (Ijab dan Qabul)
Sighah wasiat boleh berlaku sama ada secara sarih atau kinayah dan sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat. Antara syarat sighah adalah seperti berikut: 

Qabul atau penerimaan dianggap sah jika dibuat selepas kematian pemberi wasiat.
Penerimaan atau penolakan yang dibuat pada masa hidup pemberi wasiat tidak dikira.

Penerimaan oleh penerima wasiat tidak disyaratkan dengan segera apabila telah berlaku kematian pemberi wasiat.Sesuatu wasiat itu tidak memerlukan penerimaan sekiranya ia untuk pihak yang umum yang tidak ditentukan seperti wasiat untuk fakir miskin dan ulamak. Jika wasiat itu untuk seseorang yang khusus atau orang-orang yang tertentu yang terhad bilangannya maka disyaratkan penerimaan atau persetujuan penerima wasiat sebagai bukti penerimaan kerana ada kemungkinan penerima wasiat menolak wasiat tersebut. Jika berlaku penolakan daripada penerima wasiat maka dikatakan wasiat itu batal. Pewasiat boleh meletakkan syarat dalam wasiatnya tetapi hendaklah tidak menyalahi syarak. Pemberi wasiat boleh berwasiat kepada bayi yang masih dalam kandungan dengan syarat bayi tersebut wujud pada masa wasiat itu dibuat dan bayi itu hendaklah dilahirkan hidup. Sekiranya penerima wasiat meninggal dunia selepas pewasiat tetapi belum sempat menyatakan sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut, maka waris penerima wasiat boleh sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut.

1.5 Jenis Wasiat 

Jika dilihat kepada penerima, lafaz dan harta yang diwasiatkan secara terperinci, maka wasiat terbahagi kepada empat jenis iaitu wasiat mutlak, wasiat bersyarat, wasiat am dan wasiat khas.

(i) Wasiat Mutlak
Wasiat mutlak ialah wasiat yang dilakukan dengan bebas atau tidak terikat dengan syarat-syarat tertentu yang dikenakan ke atas harta diwasiatkan yang mungkin diletakkan oleh pemberi wasiat. Oleh itu, mengikut mazhab Syafie dan Hanbali, kesan dari wasiat mutlak ini ialah ia akan berkuatkuasa selama-lamanya.

(ii) Wasiat Bersyarat
Wasiat bersyarat ialah wasiat yang mengandungi syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh pewasiat. Para fuqaha’ bersependapat bahawa sah syarat-syarat diletakkan dalam wasiat asalkan ia tidak menyalahi syarak sama ada dari sudut harta, tujuan atau cara mengerjakan syarat-syarat yang dikenakan dan hendaklah wasiat itu membawa kebaikan kepada penerima, pewasiat atau selainnya. Oleh itu, wasiat yang mempunyai syarat-syarat yang sah akan mengikat penerima dan terpulang kepada penerima wasiat sama ada menerima wasiat
yang berserta syarat-syaratnya atau menolak wasiat tersebut. Sekiranya syarat-syarat yang terkandung di dalam wasiat bersyarat ini adalah sah di sisi syarak tetapi tidak dipenuhi oleh penerima wasiat maka kesannya ialah wasiat itu menjadi batal.

(iii) Wasiat Am
Wasiat am adalah wasiat yang dibuat berbentuk umum seperti kepada penduduk sesebuah kampung atau bandar. Wasiat yang berbentuk sedemikian adalah merangkumi kesemua ahli penduduk tempat tersebut sama ada Islam ataupun kafir. Adapun bilangan yang paling minimum penerima sesuatu wasiat yang umum yang ditujukan kepada kumpulan yang ramai seperti penduduk sesuatu tempat maka memadai dengan tiga orang mewakili kumpulan yang ramai tersebut menurut pendapat Imam Syafie. Namun terdapat perbezaan
pendapat di kalangan fuqaha’ mazhab Hanafi, Abu Yusuf mengatakan adalah memadai sekiranya wasiat itu diberikan kepada seorang daripada kumpulan yang ramai itu, sedangkan Muhammad Hassan al-Shaybani pula menyatakan hendaklah sekurang-kurangnya diberikan kepada dua orang daripada mereka.

Jika pewasiat menyatakan golongan penerima wasiat tidak jelas iaitu hanya secara umum sahaja seperti mewasiatkan kepada fakir miskin maka menurut pendapat Imam Syafie harta yang diwasiatkan itu hendaklah digunakan untuk kepentingan fakir miskin di tempat harta itu berada. Harta yang diwasiatkan itu boleh diberikan kepada daerah atau negeri lain yang berdekatan sekiranya harta itu terlalu banyak dan penduduk di kawasan tersebut menerima bahagian yang memadai dan mencukupi untuk keperluan hidup mereka.

Dalam Seksyen 17(4) dan (5) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, (peruntukan yang sama juga terdapat dalam Seksyen 17(4) dan (5) Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004) memperuntukkan:

“Jika benefisiari ialah suatu badan yang diperbadankan, penerimaannya atau penolakannya hendaklah dibuat oleh wakil sah badan yang diperbadankan tersebut.”

“Jika wasiat itu telah dibuat kepada kumpulan orang yang tidak diperbadankan, penerimaannya dan penolakannya adalah tidak diperlukan dan wasiat itu hendaklan dibahagikan kepada sekurang-kurangnya tiga orang dari kumpulan orang tersebut”.

Pewasiat yang hendak mewasiatkan harta perlulah menyatakan dengan jelas dan betul supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Namun bagi pewasiat yang berwasiat dengan harta dan kadarnya yang dinyatakan dalam bentuk umum yang mengelirukan, sebagai contoh: 

“Berikan sedikit pemberian atau sebahagian atau sesuatu daripada hartaku setelah kematianku” atau “Berikan sesuatu kepada si pulan setelah kematianku” maka menurut pendapat para fuqaha’ termasuk Imam Syafie, Hanafi, Hanbali dan lain-lain hanya waris pewasiat yang berhak menentukan maksud sebenar yang terkandung dalam pemberian itu.

(iv) Wasiat Khas
Wasiat khas adalah wasiat yang dikhususkan untuk pihak tertentu. Terdapat kemungkinan pewasiat dalam berwasiat kepada seseorang yang tertentu membuat perbandingan kadar yang hendak diwasiatkan dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh salah seorang waris pewasiat. Sebagai contoh, pewasiat mewasiatkan supaya memberikan hartanya kepada seseorang tertentu dengan kadar yang sama banyak dengan kadar anak lelakinya. Dalam kes ini, maka perlu dipastikan pewasiat ada meninggalkan anak atau tidak, jantina anak dan jumlah anaknya. Menurut pendapat Imam Syafie, Imam Hanafi, al-Sha’bi, al-Nakha’i dan al-
Thawri, sekiranya pewasiat mewasiatkan bahagian anak lelakinya sedangkan ia mempunyai seorang sahaja anak maka kadar pemberian wasiat yang dibenarkan ialah 1/2 bahagian harta tetapi jika anaknya tidak bersetuju dengan lebihan kadar wasiat yang dibenarkan itu maka wasiat itu hanya sah setakat 1/3 bahagian sahaja. Seterusnya, jika diwasiatkan dengan kadar bahagian anak-anaknya dan pewasiat hanya ada dua orang anak sahaja maka penerima wasiat berhak mendapat 1/3 bahagian harta sahaja.

Namun begitu, sekiranya pewasiat mempunyai seorang anak lelaki dan seorang perempuan dan pewasiat berwasiat menyatakan supaya diberikan kepada penerima wasiat sebagaimana bahagian salah seorang anaknya maka di sini penerima wasiat berhak menerima kadar bahagian harta yang diterima oleh anak perempuan kerana itu adalah kadar yang terendah yang boleh diberikan kepadanya.

Dan sekiranya pewasiat mewasiatkan dengan kadar bahagian anaknya sedangkan anaknya kafir, pembunuh atau sebagainya yang terdinding secara langsung (hirman) daripada menerima harta wasiat maka wasiat yang sedemikian adalah batal kerana harta itu diwasiatkan seperti bahagian mereka yang tidak berhak mendapat bahagian daripada harta pusaka.

1.6 Kadar Harta yang Boleh Diwasiatkan 

Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan penunaian hutang-hutangnya jika ada yang menjadi tanggungan pewasiat. Oleh itu, wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Jika waris-waris bersetuju, maka wasiat lebih daripada 1/3 adalah sah, dan jika mereka tidak bersetuju maka wasiat hanya sah setakat 1/3 sahaja dalan lebihan daripada itu menjadi harta
pusaka. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia
dengan tangan mereka” 
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika pewasiat tidak mempunyai waris, maka menurut pendapat mazhab Hanafi wasiat yang melebihi 1/3 harta adalah sah. Tetapi menurut pendapat jumhur, wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana ia melibatkan hak orang Islam.

Mengenai masalah kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat sama ada diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta pertambahan yang diperolehi yang tidak diketahui oleh pewasiat, terdapat perselisihan di kalangan fuqaha’ iaitu menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui kadar sebenar harta yang ada pada masa ia melakukan wasiat kerana harta sebenar yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.

Kesan positif daripada sekatan berwasiat hanya sekadar 1/3 sahaja daripada harta peninggalan pewasiat adalah untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak ke atas harta peninggalan tersebut. Ini ialah kerana berkemungkinan sama ada secara sedar atau tidak pewasiat akan menafikan harta peninggalannya kepada waris-waris yang berhak dengan melepaskan kesemua hartanya atau mengurangkan bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka.

Wasiat yang tidak dijelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat dan gagal mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada kenyataan pewasiat maka menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali terpulanglah kepada waris-waris pewasiat untuk menentukan kadar yang sebenar.

Walaupun telah ditetapkan kadar maksima harta yang boleh diwasiatkan adalah 1/3 tetapi para sahabat dan para fuqaha’ bersetuju bahawa kadar sebaik-baiknya untuk berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum tersebut. Ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadis berkaitan wasiat yang menekankan bahawa berwasiat dengan kadar 1/3 adalah banyak dan menurut hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Waqqas dan Sa’ad bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa kadar 1/3 itu adalah banyak.

Para sahabat sendiri umpamanya Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat dengan kadar 1/3 di mana masing-masing berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta mereka dan begitu juga dengan Saidina Umar yang berwasiat dengan kadar 1/4 bahagian daripada hartanya. Menurut Qatadah, sebaik-baik berwasiat adalah dengan kadar 1/5 bahagian harta dan demikian juga pendapat ahli-ahli fiqh Basrah. Menurut al-Sha’bi, kebanyakan ulama’ cenderung dengan kadar 1/4 dan 1/5 daripada bahagian harta sahaja.

1.7 Wasiat ke atas Manfaat Harta 

Kebanyakan para fuqaha’ termasuk mazhab sunni yang empat berpendapat bahawa boleh berwasiat dengan manfaat sahaja iaitu manfaat yang dibenarkan oleh syarak sedangkan ‘ain tetap berada pada waris pewasiat. Ini adalah berpandukan kepada pandangan bahawa ‘ain dan manfaat boleh dipisahkan maka dengan itu sah umpamanya berwasiat dengan hak menduduki sebuah rumah, sewa rumah dan sebagainya sedangkan hak ke atas ‘ain tetap berada pada waris pewasiat. Namun demikian, penggunaan harta manfaat itu hendaklah tidak merosakkan harta ‘ain itu sendiri yang merupakan milik individu lain.

Merujuk dalam perkara had penggunaan harta manfaat, terdapat perselisihan pendapat di kalangan para fuqaha’ sunni. Fuqaha’ mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali membolehkan penerima wasiat memanfaatkan semaksimum mungkin harta manfaat yang diperolehi seperti menyewakannya, meminjamkannya atau mewasiatkan semula manfaat tersebut selagi perbuatannya itu masih dalam tempoh sebagaimana yang dibenarkan dalam wasiat tersebut. Tetapi jika terdapat sekatan atau larangan yang jelas ke atas penerima wasiat dari melakukan tindakan sedemikian maka penerima wasiat hendaklah menggunakan harta manfaat itu sendiri.

Berlainan pula dengan fuqaha’ mazhab Hanafi yang menyatakan penerima wasiat manfaat tidak boleh menyewakan atau meminjamkan kepada orang lain atau sebagainya yang berbentuk melepaskan penggunaan harta itu kepada orang lain. Ini disebabkan penerima manfaat pada hakikatnya tidak memiliki ‘ain itu sendiri kecuali hak yang terbatas sahaja iaitu penerima yang diwasiatkan sahaja berhak menggunakan harta manfaat tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam hal yang berkaitan dengan pemindahan milik hak manfaat ke atas harta yang diterima daripada pewasiat kepada orang lain seperti menjualkannya, para fuqaha’ bersependapat bahawa penerima wasiat tersebut tidak berkuasa berbuat sedemikian kerana penerima tidak memiliki ‘ain harta itu sendiri.

Dalam hal tanggungjawab penjagaan harta manfaat termasuk mengeluarkan belanja untuk maksud tersebut, menurut mazhab Syafie, Hanbali dan pendapat Abu Thawr, masing-masing pihak tidak boleh memaksa pihak yang satu lagi mengeluarkan belanja untuk maksud tersebut jika manfaat yang diwasiatkan itu bukan daripada sesuatu yang bernyawa. Dengan itu, sekiranya penerima wasiat tidak menerima hasil dari tanaman yang diwasiatkan pada tahun itu maka ia tidak boleh meminta gantirugi daripada waris-waris pewasiat yang
memiliki ‘ain harta tersebut.

Berkenaan dengan had masa pula, pewasiat boleh menetapkan tempoh sah wasiat manfaat sama ada dinyatakan dengan jelas atau sebagainya tanpa menetapkan tempoh yang tertentu. Antara beberapa contoh yang dibawa oleh para fuqaha’ berkenaan masalah ini ialah: Menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie, sekiranya di dalam wasiat itu dinyatakan untuk selama-lamanya bermaksud selama kebun itu mengeluarkan hasil akan menjadi kepunyaan penerima dan jika penerima mati maka diganti dengan waris
penerima tersebut tetapi jika dinyatakan untuk selama hidup penerima maka hanya setakat itu sahajalah hak penerima.

Bagi wasiat yang dinyatakan secara mutlak, seperti diwasiatkan buah-buahan di kebunnya tanpa sebarang kaitan atau had tertentu, maka menurut mazhab Syafie dan Hanbali, penerima wasiat manfaat itu berhak menerima segala buah-buahan yang ada pada masa kematian pewasiat dalam tempoh selama hidup penerima. Para fuqaha’ bersetuju bahawa dalam wasiat manfaat untuk orang miskin atau untuk golongan atau institusi yang tidak dapati ditentukan had umurnya, sama ada pewasiat menyatakan untuk selama-lamanya atau tidak, ia tetap membawa erti untuk selama-lamanya kerana sifat penerima yang biasanya wujud berkekalan.

Berhubung dengan nilai kadar wasiat manfaat benda atau harta, para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menetapkan nilai kadar 1/3 harta yang diambil sebagai harta manfaat. Mengikut mazhab Hanafi dan Maliki, manfaat pada asalnya adalah berdasarkan benda maka dalam wasiat manfaat akan dinilai harga benda atau modal asal yang diambil manfaatnya dan bukannya manfaat itu sendiri sama ada ia bagi tempoh sementara atau selama-lamanya. Dengan kadar 1/3 maka ia akan lebih mudah digenapkan bahkan berkemungkinan melebihi kadar tersebut kerana di samping harta asal, harta manfaat juga akan dinilai bersama. Sebagai contoh, A mewasiatkan kepada B menduduki rumahnya selama satu tahun atau sebagainya, maka dalam kes ini harga rumah itu akan dinilai dari segi sama ada masih dalam batas 1/3 harta wasiat yang dibenarkan atau melebihi. Sekiranya melebihi maka dengan sendirinya wasiat itu tidak dapat dilaksanakan. Imam Malik bagaimanapun membuka kemungkinan kepada waris-waris pewasiat untuk sama ada membayar ganti
dalam bentuk wang kepada penerima wasiat manfaat atau menyerahkan manfaat itu kepada penerima.

Adapun pendapat mazhab Syafie dan Hanbali adalah sama iaitu kedua-dua jenis wasiat iaitu wasiat dengan harta asal dan harta manfaat adalah dua wasiat yang berlainan. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa penilaian kedua-dua jenis wasiat itu hendaklah dipisahkan. Jika nilai harta manfaat itu masih dalam had 1/3 harta peninggalan pewasiat maka ia tetap sah.

1.8 Wasiat kepada Waris 

Waris ialah orang yang berhak mendapat harta pusaka si mati sama ada dia terdiri daripada waris ashab al-furud atau ‘asabah. Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 mentafsirkan waris ialah seseorang yang mempunyai hak mewarisi harta pusaka menurut hukum syarak.

Waris sebagai penerima wasiat mestilah menjadi waris ketika kematian pewasiat bukan ketika wasiat dibuat. Oleh itu, jika seseorang mewasiatkan sebahagian hartanya kepada saudaranya ketika beliau tidak mempunyai anak kemudian beliau mendapat anak lelaki sebelum meninggal dunia, maka wasiat tersebut adalah sah.

Para ulamak berselisih pendapat dalam menentukan hukum berwasiat kepada waris seperti berikut: 

Jumhur ulamak berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah, kecuali mendapat persetujuan daripada semua waris. Jika mereka bersetuju, maka wasiat itu sah dan sebaliknya jika mereka tidak bersetuju maka wasiat itu tidak sah. Persetujuan mereka hendaklah dibuat selepas kematian pewasiat dan mereka yang memberi persetujuan hendaklah berkelayakan berbuat demikian. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah menetapkan hak bagi setiap empunyanya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada waris” 
(Hadis riwayat al-Tirmidhi).

Mana-mana waris yang menerima wasiat tersebut ketika hayat pewasiat boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Begitu juga, mana-mana waris yang menolaknya ketika hayat pewasiat boleh menerimanya selepas kematian pewasiat.

Jika selepas kematian pewasiat, hanya sebahagian waris sahaja yang bersetuju tetapi sebahagian yang lain membantah, maka wasiat itu dibatalkan daripada bahagian waris yang membantah tetapi dilaksanakan pada bahagian waris yang bersetuju mengikut kadar bahagian mereka di dalam pusaka.

Syiah Imamiyyah, Ismailiyyah dan sebahagian Zaidiyyah berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah harus dan boleh dilaksanakan tanpa persetujuan waris-waris lain. Kedudukannya sama seperti wasiat kepada bukan waris. Al-Muzani, al-Subki dan al-Zahiri berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah
tidak sah sekalipun mendapat keizinan daripada waris-waris yang lain. Namun waris yang berkenaan boleh mengizinkan bahagian pusaka masing-masing tetapi bukan dalam bentuk wasiat. Mazhab Maliki berpendapat bahawa wasiat kepada waris adalah batal secara mutlak.

Wasiat kepada waris dalam undang-undang wasiat beberapa negara Islam adalah berbeza-beza. Menurut Perkara 37, Undang-undang Wasiat Mesir 1946 menyatakan bahawa sah wasiat kepada waris dengan kadar 1/3 tanpa perlu mendapat persetujuan daripada waris-waris yang lain. Peruntukan ini ada persamaan dengan peruntukan Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 yang memperuntukkan: 

“Sesuatu wasiat (bekues) yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang melebihi 1/3, hendaklah tidak boleh berkuat kuasa (tidak boleh dikuatkuasakan) sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya (melainkan jika waris-waris mempersetujuinya) selepas kematian pewasiat”.

Manakala menurut Perkara 238(2) Qanun al-Ahwal al-Shaksiyyah Syria dan Perkara 247 Qanun al-Ahwal al-Shaksiyyah Kuwait memperuntukkan bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah sebagaimana pendapat jumhur ulamak di atas.

1.9 Pembatalan Wasiat 

Pembatalan wasiat boleh berlaku disebabkan pewasiat sendiri, penerima wasiat atau harta yang diwasiatkan. Huraiannya adalah seperti berikut:

(i) Pewasiat hilang keahlian seperti gila yang berterusan
Mazhab Hanafi berpendapat bahawa wasiat terbatal disebabkan pewasiat gila, sama ada gila itu berterusan sehingga pewasiat meninggal dunia atau tidak. Manakala menurut pendapat jumhur, wasiat tidak terbatal disebabkan pewasiat gila, sama ada gila itu berterusan sehingga pewasiat meninggal dunia atau tidak. Ini kerana, pewasiat mempunyai keahlian semasa melakukan wasiat dan hilangnya keahlian selepas itu seperti gila tidak menyebabkan wasiat yang dilakukannya semasa dia waras terbatal.

(ii) Pewasiat murtad
Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat bahawa wasiat terbatal disebabkan pewasiat murtad dan dia meninggal dunia dalam keadaan murtad. Begitu juga, penerima wasiat murtad boleh menyebabkan wasiat terbatal menurut pendapat mazhab Maliki. Walau bagaimanapun, menurut pendapat mazhab Hanbali wasiat yang dilakukan itu masih lagi sah walaupun pewasiat murtad.

(iii) Menggantungkan wasiat dengan sesuatu syarat yang tidak berlaku
Contohnya, seseorang berkata: “Jika aku meninggal dunia disebabkan sakitku ini atau jika aku meninggal dunia dalam pengembaraanku ini maka aku berikan kepada pulan sekian banyak hartaku”. Kemudian selepas itu pewasiat tersebut tidak meninggal dunia, maka wasiat yang dilakukannya itu terbatal kerana syarat tersebut tidak berlaku.

(iv) Penarikan balik wasiat
Penarikan balik wasiat yang telah dilakukan oleh pewasiat adalah hak dan keistimewaannya yang boleh dibuat pada bila-bila masa yang dikehendakinya, sama ada ke atas semua atau sebahagian dari harta yang diwasiatkan. Ini kerana wasiat yang dilakukan itu merupakan suatu akad yang tidak lazim dan dianggap belum sepenuhnya berkuatkuasa selama pewasiat masih hidup serta pemberian wasiat juga merupakan perbuatan sukarela.

Penarikan balik wasiat boleh dilakukan secara terang-terangan seperti pewasiat mengatakan “aku batalkan wasiatku itu”, “aku hapuskan wasiatku itu”, “harta ini untuk warisku atau sebagai harta pusaka” atau seumpamanya. Selain itu, penarikan balik juga boleh berlaku secara diam-diam yang akan membawa kesan yang sama seperti penarikan secara terang-terangan. Contohnya, pewasiat menjual atau memberikan harta itu kepada orang lain atau pewasiat mengubah sifat harta yang diwasiatkan seperti kain yang diwasiatkan itu dijadikan baju atau sebagainya lagi sehingga hilang nama asal benda yang diwasiatkan itu. Sebaliknya, jika hanya berlaku perubahan kepada harta berkenaan seperti pertambahan maka ia tidak dianggap pewasiat telah menarik balik wasiatnya.

(v) Penolakan wasiat
Wasiat juga terbatal jika sekiranya penerima wasiat menolak atau tidak mahu menerimanya selepas kematian pewasiat.

(vi) Penerima wasiat meninggal dunia sebelum pewasiat
Keempat-empat mazhab sunni bersependapat bahawa wasiat terbatal disebabkan kematian penerima wasiat sebelum pewasiat meninggal dunia. Ini kerana wasiat hanya boleh berlaku selepas kematian pewasiat dan penerima wasiat menerima wasiat tersebut. Begitu juga, wasiat terbatal jika penerima wasiat meninggal dunia selepas kematian pewasiat, sedangkan penerima wasiat belum sempat menerimanya menurut pendapat jumhur kecuali mazhab Hanafi.

(vii) Penerima wasiat membunuh pewasiat
Menurut pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali wasiat kepada pembunuh adalah terbatal, sama ada pembunuhan itu berlaku sebelum berlaku wasiat seperti seseorang mencederakan seseorang lain dengan tujuan membunuhnya, kemudian sebelum dia meninggal dunia, dia sempat mewasiatkan hartanya kepada orang yang mencederakannya itu, atau selepas berlakunya wasiat, walaupun diizinkan oleh waris-waris tetapi wasiat tersebut tetap juga terbatal. Ini kerana mereka menyamakan halangan pewarisan dengan wasiat. Oleh itu, bentuk pembunuhan yang menyebabkan terbatalnya wasiat menurut kedua-dua mazhab ini adalah sama seperti halangan pewarisan.

Walau bagaimanapun, mazhab Syafie, Maliki dan Shiah Imamiyyah berpendapat bahawa wasiat tersebut tidak terbatal walaupun pembunuhan itu secara sengaja atau bertujuan untuk mempercepatkan kematian pewasiat supaya dia mendapat harta yang diwasiatkan itu dengan segera. Ini kerana wasiat merupakan suatu akad pemilikan sama seperti hibah dan ia berlainan dengan pewarisan.

Di negeri-negeri yang telah ada undang-undang wasiat seperti Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, memakai pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali dalam soal penerima wasiat membunuh pewasiat. Menurut Seksyen 14 Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (peruntukan yang sama juga terdapat dalam Seksyen 14 Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Semblian 2004) memperuntukkan:

“Sesuatu wasiat hendaklah menjadi batal sekiranya seseorang benefisiari dengan sengaja menyebabkan kematian pewasiat, secara langsung atau tidak langsung, sama ada dia bertindak sebagai prinsipal, rakan jenayah atau pensubahat atau sebagai saksi palsu yang keterangannya menyebabkan hukuman mati ke atas pewasiat dilaksanakan:

Dengan syarat bahawa pembunuhan tersebut adalah dilakukan tanpa hak dan keuzuran syarie dan benefisiari adalah sempurna akal dan telah mencapai umur matang menuruthukum syarak”.

(viii) Berlaku kerosakan terhadap harta yang diwasiatkan
Wasiat terbatal jika harta yang dinyatakan di dalam wasiat itu rosak sebelum berlaku penerimaan.

1.10 Tatacara Berwasiat 

Dalam melakukan wasiat, syarak tidak menetapkan bentuk yang perlu diikuti, maka wasiat yang dilakukan itu sama ada secara ucapan, bertulis atau isyarat dibolehkan selagi tujuan pewasiat jelas dinyatakan dan cara yang dilakukan sesuai dengan keadaan pada ketika itu. Walau bagaimanapun, sebaik-baik wasiat hendaklah dilakukan dalam bentuk tulisan ketika badan masih lagi sihat dan disaksikan.

1.11 Beberapa Perkara Berkaitan dengan Wasiat 

(a) Wasiat kepada anak dalam kandungan
Para ulamak sependapat bahawa sah berwasiat kepada anak yang masih dalam kandungan ibunya tetapi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut: 

Anak itu telah wujud dalam kandungan ibunya semasa wasiat dibuat. Bagi menentukan kewujudan janin dalam kandungan ibunya, maka bolehlah dilakukan dengan melihat keadaan ibu atau berpandukan pengakuan ibu tersebut atau daripada kelahiran janin dalam tempoh yang dibenarkan oleh syarak, iaitu dalam masa 6 bulan setelah wasiat dibuat bagi ibu yang masih dalam perkahwinan atau dalam tempoh 4 tahun bagi ibu yang telah bercerai atau kematian suami dan tidak berkahwin semula. Janin hendaklah dilahirkan hidup secara keseluruhannya menurut pendapat mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. Jika timbul keraguan sama ada kelahiran bayi itu sepenuhnya hidup atau tidak maka ia perlu dipastikan oleh doktor pakar. Sekiranya jelas bayi itu dilahirkan mati, maka harta yang diwasiatkan hendaklah dikembalikan kepada waris-waris pewasiat sebagai harta pusaka.

(b) Penerima wasiat mati sebelum sempat menyatakan penerimaan wasiat
Dalam soal penerimaan atau penolakan sesuatu wasiat, ia hendaklah berlaku selepas kematian pewasiat. Oleh itu, penerimaan atau penolakan sesuatu wasiat semasa pewasiat masih hidup tidak memberi kesan ke atas wasiat berkenaan kerana ia masih belum berkuat kuasa.

Sekiranya penerima wasiat meninggal dunia sebelum sempat menerima atau menolak wasiat yang dibuat kepadanya sedangkan kematiannya berlaku selepas kematian pewasiat, maka hak untuk menyatakan penerimaan atau penolakan akan berpindah kepada waris-waris penerima wasiat. Walau bagaimanapun, pendapat para ulamak dalam mazhab Hanafi bahawa wasiat tersebut dengan sendirinya berpindah kepada waris-waris penerima wasiat tanpa perlu kepada penyataan penerimaan daripada mereka.

Seksyen 17(6) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (peruntukan yang sama juga terdapat dalan Seksyen 17(6) Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004) memperuntukkan:

“Jika seseorang benefisiari mati sebelum dia sempat menerima atau menolak wasiat, waris-warisnya hendaklah menentukan sama ada hendak menerima atau menolak wasiat tersebut”.

Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali menyatakan bahawa penyataan penerimaan daripada penerima hendaklah jelas dalam bentuk apa sahaja yang boleh difahami. Oleh itu, sekiranya penerima wasiat gagal memberi keputusannya sama ada menerima atau menolak wasiat berkenaan selepas beberapa ketika maka hendaklah diminta supaya penerima memberi jawapannya, dan kalau dia terus enggan menyatakannya maka dengan sikapnya itu boleh dihukumkan sebagai menolak pemberian itu.

Seksyen 18(1) dan (2) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (peruntukan yang sama juga terdapat dalan Seksyen 18(1) dan (2) Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004) memperuntukkan: “Penerimaan dan penolakan sesuatu wasiat bolehlah dibuat dalam tempoh tiga puluh hari selepas seseorang benefisiari mengetahui tentang kematian pewasiat dan wujudnya wasiat tersebut:

Dengan syarat benefisiari tersebut tidak mempunyai apa-apa keuzuran yang munasabah yang menyebabkan kelewatan penerimaan dan penolakannya terhadap wasiat itu.

Seseorang waris pewasiat boleh membuat permohonan di Mahkamah untuk mendapat satu perintah mengarahkan seseorang benefisiari menyatakan penerimaan atau penolakannya terhadap sesuatu wasiat”.

(c) Wasiat wajibah
Pada dasarnya, pemberian wasiat itu adalah suatu tindakan ikhtiyariyyah iaitu suatu tindakan yang dilakukan atas dorongan kemahuan sendiri. Oleh itu, tidak terdapat di dalam syariat Islam istilah wasiat wajibah menurut pendapat jumhur fuqaha’. Walau bagaimanapun, sebahagian fuqaha’ tabi’in, imam-imam fiqh dan hadis seperti Said bin al-Musayyab, al-Hasan al-Basri, Imam Ahmad bin Hanbal, Daud bin Ali al-Zahiri, Ishaq bin Rahawayh, Ibn Jarir, Ibn Hazm dan lain-lain berpendapat bahawa wasiat untuk kaum kerabat terdekat yang tidak mendapat bahagian pusaka adalah wajib. 

Mereka bersandarkan kepada firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: 

“Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu menghampiri kematian, kalau dia mempunyai harta, supaya berwasiat untuk ibu bapanya dan kaum kerabatnya yang terdekat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan ke atas orang yang bertaqwa”.

Jumhur fuqaha’ mengatakan bahawa ayat di atas telah dinasakhkan (dibatalkan) oleh ayat-ayat pewarisan (ayat al-mawarith) iaitu ayat 11, 12 dan 176 surah al-Nisa’ dan hadis Rasulullah s.a.w. Oleh itu, kewajipan berwasiat kepada kaum kerabat dan orang lain adalah telah dinasakhkan hukumnya. Manakala sebahagian fuqaha’ yang lain mengatakan bahawa ayat di atas tidak pernah dinasakhkan, bahkan ayat di atas boleh difahamkan sebagai membawa maksud bahawa kewajipan berwasiat ditujukan kepada keluarga yang tidak
berhak mendapat bahagian harta pusaka sahaja kerana ayat-ayat pewarisan adalah jelas telah ditetapkan bahagian setiap waris yang berhak. Tegasnya, mereka telah menggabungkan pengertian di antara ayat wasiat dan ayat pewarisan sehingga konsep wasiat wajibah dapat secara berkesan dilaksanakan kepada kaum keluarga terdekat yang terlindung daripada mendapat bahagian pusaka.

Wasiat wajibah ialah sebahagian daripada harta peninggalan yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk anak-anak yang kematian ibu atau bapa sebelum datuk atau nenek atau mereka meninggal serentak dan anak-anak tersebut tidak mendapat bahagian daripada harta peninggalan datuk atau nenek mereka kerana didinding (dihijab) oleh bapa atau ibu saudara mereka. Justeru itu, diberi kepada mereka dengan kadar dan syarat-syarat tertentu sebagai wasiat dan bukannya sebagai pusaka.

RAJAH 1: Gambaran Bentuk Wasiat Wajibah



Dalam RAJAH di atas, didapati bahawa Yusuf meninggal dunia lebih dahulu daripada bapanya, Muhammad. Oleh itu, anak-anak Yusuf iaitu Azizah dan Azhar merupakan ashab wasiat wajibah. Ini kerana dalam pembahagian harta pusaka mereka berdua dihalang (dihijab) oleh bapa saudara mereka yang terdiri daripada Rahim dan Musa dari menerima pusaka datuknya, Muhammad. Justeru itu, berkewajipan ke atas datuk (Muhammad) membuat wasiat kepada anak-anak Yusuf sejumlah harta yang patut diperolehi oleh Yusuf sekiranya dia masih hidup selepas kematian bapanya, Muhammad.

Kebanyakan undang-undang meletakkan beberapa syarat untuk melaksanakan wasiat wajibah ke atas cucu lelaki dan perempuan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut: 

Mereka tidak mendapat apa-apa bahagian harta pusaka datuk atau nenek mereka kerana didinding oleh bapa atau ibu saudara mereka. Jika mereka berhak ke atas harta pusaka walaupun bahagiannya lebih sedikit daripada wasiat wajibah, maka wasiat wajibah tidak boleh berlaku.

Si mati (datuk atau nenek) tidak memberikan hartanya kepada mereka sama ada melalui cara hibah atau wasiat. Jika si mati telah memberikan kepada mereka hartanya yang menyamai kadar wasiat wajibah, maka mereka tidak lagi berhak ke atas harta pusaka tersebut. Walau bagaimanapun, jika pemberian itu kurang daripada hak yang sepatutnya mereka dapat melalui wasiat wajibah, maka wajib diserahkan kepada mereka sebahagian dari harta pusaka itu supaya lengkap atau sempurna bahagian wasiat wajibah tersebut. Ibu atau bapa mereka hendaklah meninggal dunia sebelum kematian orang tuanya (datuk atau nenek) atau mereka mati bersama-sama seperti tenggelam di laut, terbakar atau sebagainya.

Bagi fuqaha’ yang berpendapat bahawa wasiat adalah wajib ke atas kaum keluarga terdekat yang tidak mendapat harta pusaka tidak menentukan kadar atau bahagian yang sepatutnya mereka terima. Walau bagaimanapun, kebanyakan undang-undang wasiat di negara-negara Islam menetapkan bahawa mereka akan mendapat bahagian sepertimana bahagian yang sepatutnya diterima oleh bapa atau ibu mereka sekiranya mereka masih hidup, tetapi kadar tersebut tidak boleh melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka.

Kebelakangan ini terdapat beberapa buah negara Islam telah meminjam dan menguatkuasakan konsep wasiat wajibah dengan ketetapan undang-undang secara terhad kepada beberapa masalah semasa yang timbul daripada pelaksanaan pembahagian pusaka. Mereka telah meminjam konsep keadilan yang terdapat dalam sistem wasiat Islam yang memang pada asasnya bertujuan untuk membawa kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Di samping itu, hujah mereka diperkuatkan lagi dengan meminjam pendapat sebahagian sahabat dan fuqaha’ yang berpegang pada pentafsiran bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat terdekat yang tidak mendapat bahagian pusaka, sedangkan si mati ada meninggalkan harta. Kesan daripada pandangan ini ialah beban kewajipan berwasiat kepada waris tidak akan terlepas dengan kematian seseorang tetapi menjadi tanggungjawab waris untuk melaksanakan wasiat itu sekiranya si mati gagal berwasiat.

Di antara negara-negara yang telah mengkanunkan wasiat wajibah adalah Mesir, Syria, Libya, Kuwait, Yaman, Maghribi, Jordan, Pakistan, Tunisia dan lain-lain lagi. Di Malaysia, negeri Selangor merupakan negeri pertama yang memperuntukkan wasiat wajibah di dalam Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999. Selepas itu, peruntukan berkaitan dengan wasiat wajibah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Selangor telah diikuti oleh Negeri Sembilan di dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 dan Melaka didalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005.

Walau bagaimanapun, dalam soal penentuan ashab wasiat wajibah ini, beberapa negara-negara Islam yang memperuntukkan mengenai wasiat wajibah boleh dibahagikan kepada empat kategori: 

Mesir, Libya, Kuwait dan Yaman menetapkan bahawa ashab wasiat wajibah ialah cucu yang kematian ibu atau bapa berhak mendapat wasiat wajibah. Namun demikian, cucu yang kematian ibu berhak mendapat wasiat wajibah pada peringkat pertama sahaja, sedangkan cucu yang kematian bapa berhak mendapat wasiat wajibah pada peringkat pertama dan seterusnya ke bawah. 

Syria, Maghribi dan Jordan menetapkan bahawa ashab wasiat wajibah ialah cucu yang kematian bapa sahaja berhak mendapat wasiat wajibah. Sedangkan cucu yang kematian ibu tidak berhak mendapat wasiat wajibah kerana tergolong dalam golongan waris dhawi al-arham. 

Pakistan dan Tunisia pula menetapkan bahawa ashab wasiat wajibah ialah cucu yang kematian ibu atau bapa pada peringkat pertama sahaja. Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka menetapkan bahawa ashab wasiat wajibah ialah cucu yang kematian bapa pada peringkat pertama sahaja.

2. APLIKASI WASIAT DI MALAYSIA 

Di Malaysia, apabila seseorang itu mati maka hartanya yang ditinggalkannya boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: 

(i) Harta pusaka berwasiat (testate estate) iaitu harta yang ditinggalkan oleh si mati yang keseluruhannya mempunyai wasiat. Kategori ini tidak boleh berlaku kepada orang Islam kerana Islam hanya membenarkan wasiat dibuat tidak melebihi kadar 1/3 harta peninggalan. Sekiranya keadaan ini berlaku, maka wasiat hanya sah setakat 1/3 sahaja dan bukan kepada waris yang berhak mendapat harta pusaka. Walau bagaimanapun, jika waris-waris bersetuju maka wasiat tersebut dianggap sah. 

(ii) Harta pusaka tidak berwasiat (intestate estate) iaitu harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat. Kategori ini boleh berlaku kepada orang Islam dan bukan Islam. Dari segi pelaksanaannya ia tertakluk kepada sama ada harta pusaka itu harta pusaka besar, harta pusaka kecil atau harta pusaka ringkas. 

(iii) Harta pusaka sebahagian berwasiat dan sebahagian lagi tidak berwasiat (partly testate and partly intestate) iaitu si mati meninggalkan harta pusaka di mana sebahagiannya berwasiat dan sebahagian yang lain tidak berwasiat. Kategori ini boleh berlaku kepada orang Islam dan bukan Islam.

Dalam bahagian ini, perbincangan akan difokuskan kepada harta pusaka berwasiat sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya. Sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat maka menurut undang-undang di Malaysia, pentadbirannya adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97). Ini bererti permohonan geran probet atau surat kuasa tadbir berkembar hanya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil sahaja. Permohonan geran probet atau surat kuasa tadbir berkembar boleh dipohon oleh wasi yang dinamakan di dalam wasiat si mati (pewasiat).

Jika terdapat bantahan atau pertikaian mengenai kesahan sesuatu wasiat, maka persoalan ini perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Dalam kes Nik Salma Zaidah binti Haji Wan Zaid lwn Nik Hasnah binti Nik Din dan Seorang Lagi [2002] XV JH 143, perayu mendakwa bahawa bapa angkatnya telah berkata kepadanya di hadapan kedua-dua responden bahawa beliau hendak membina sebuah rumah untuk diberikan kepadanya (perayu). Sehubungan itu, bapa angkatnya telah menyediakan peruntukan bagi pembinaan rumah tersebut. Walau bagaimanapun, rumah itu hanya dapat dibina setelah kematian bapa angkatnya. Isunya adakah perkataan yang diucapkan oleh bapa angkatnya boleh dianggap sebagai wasiat. Mahamah Rayuan Syariah Kota Bharu Kelantan memutuskan bahawa perkataan tersebut boleh diterima sebagai wasiat dengan cara kinayah dan perayu dianggap menerima wasiat tersebut apabila beliau menguruskan pembinaan rumah tersebut dan kemudian mendudukinya.

Walau bagaimanapun, dalam soal pentadbiran harta pusaka sama ada berwasiat sama ada semuanya bewasiat atau hanya sebahagian sahaja berwasiat, maka undang-undang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai kuasa bagi mengeluarkan perintah dan bukannya Mahkamah Syariah sebagaimana telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan dalam kes Jumaaton dan Raja Delila lwn Raja Hizaruddin [1998] XII(II) JH 201. Bagi harta si mati yang beragama Islam, probet perlu dipohon untuk pentadbiran harta yang dinyatakan dalam wasiat. Disebabkan orang Islam hanya boleh mewasiatkan sekadar 1/3 daripada harta pusaka, maka surat kuasa tadbir pusaka juga perlu dipohon untuk mentadbir harta-harta yang tidak dinyatakan dalam wasiatnya jika nilainya melebihi RM600,000.00. Jika kurang daripada jumlah itu (harta pusaka kecil), surat kuasa tadbir pusaka boleh terus dipohon di Pejabat Tanah (SeksyenPembahagian Pusaka).

Kesan daripada bidang kuasa dua mahkamah yang berlainan ini, orang Islam perlu berhubung dengan dua mahkamah dalah urusan harta yang diwasiatkan; pertamanya melalui Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahan sesuatu wasiat jika timbulnya pertikaian; kedua melalui Mahkamah Tinggi Sivil untuk mendapatkan probet bagi urusan pentadbiran harta tersebut jika nilainya melebihi RM600,000.00. Dalam hal ini, orang Islam terpaksa merujuk kepada kedua-dua mahkamah dalam urusan wasiat. Keadaan ini akan melibatkan masa dan perbelanjaan tambahan kepada orang Islam.

Pada masa ini, hanya Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan dengan wasiat orang Islam. Mahkamah Syariah dinegeri-negeri lain terpaksa berpandukan peruntukan am, iaitu rujukan kepada hukum syarak dalam membicarakan kes-kes berkenaan dengan wasiat. Keadaan ini boleh menyebabkan tiadanya keseragaman undang-undang berkenaan dengan wasiat yang diaplikasikan di Malaysia.

Walaupun wasiat telah lama berakar umbi dalam masyarakat Islam di Malaysia, namun masih terdapat kekaburan di kalangan umat Islam tentang pelaksanaannya. Dalam banyak keadaan, mereka memahami wasiat sebagaimana wasiat orang bukan Islam yang boleh berwasiat kepada waris dan tanpa had. Ketidakfahaman ini sudah tentu merumitkan urusan pengendalian harta pusaka mereka apabila mereka telah meninggal dunia. Hal ini berlaku mungkin kerana di Malaysia (kecuali Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan) belum terdapat undang-undang yang khusus berkaitan dengan wasiat.

Antara perkara yang menjadi salah faham di kalangan umat Islam di Malaysia semasa melakukan amalan wasiat adalah seperti berikut: 

Masalah wasiat melebihi kadar 1/3 daripada harta pewasiat.
Masalah penangguhan dalam penyerahan harta wasiat dengan meletakkan syarat yang tidak menepati hukum syarak.
Masalah wasiat kepada waris.
Masalah pemberian pada masa marad al-mawt.
Masalah penamaan.

Isu yang dinyatakan di atas merupakan perkara yang sering kali menjadi pertikaian di Mahkamah Syariah. Secara asasnya, apabila timbul pertikaian di Mahkamah berkenaan dengan kesahan sesuatu wasiat, Mahkamah perlu mentafsir dan menghuraikan kandungan wasiat tersebut untuk menyelesaikan maslah yang timbul. Justeru itu, undang-undang yang khusus mengenai wasiat orang Islam sangat diperlukan bagi membantu Mahkamah menyelesaikan pertikaian yang berkaitan dengan permasalahan wasiat.

Kini terdapat beberapa agensi yang terlibat dalam urusan yang berkaitan dengan wasiat. Kemunculan agensi-agensi ini secara positifnya dapat membantu umat Islam dalam urusan yang berkaitan dengan penulisan wasiat. Dengan adanya wasiat yang tertulis maka segala urusan berkaitan dengan pembahagian harta pusaka menjadi lebih cepat. Walau bagaimanapun, pemantauan dan pengawasan kepada agensi-agensi berkenaan secara berpusat perlu dilakukan bagi mempastikan bahawa wasiat yang dibuat oleh pewasiat itu benar-benar menepati kehendak syarak, walaupun setiap agensi berkenaan telahpun ada panel penasihat syariah masing-masing.

PENUTUP DAN CADANGAN

Instrumen hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta pusaka. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang tersendiri di dalam Islam dari segi hukum dan cara pelaksanaannya. Sekiranya kedua-dua instrumen ini diuruskan dengan teratur dan menepati kehendak syarak, maka nasib kaum kerabat terdekat yang memerlukan bantuan akan terbela. Begitu juga, kedua-dua instrumen ini boleh digunakan ke atas anak angkat, anak susuan, bapa angkat, ibu angkat dan sebagainya yang mempunyai hubungan kasih sayang yang rapat tapi tidak berhak mendapat harta pusaka.

Ketidakfahaman masyarakat mengenai kedua-dua instrumen ini sering kali timbul terutamanya apabila berlaku kematian pihak yang memberi hibah atau pewasiat. Pertikaian ini berlanjutan sehingga menyukarkan penyelesaian harta pusaka dibuat. Kewujudan agensi-agensi yang yang menguruskan perancangan harta termasuk hibah dan wasiat sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam berkaitan dengan perancangan harta. Ini kerana kebanyakan umat Islam masih lagi
ketinggalan dalam urusan perancangan harta dan dengan sebab itulah kini sebanyak lebih kurang RM40 bilion harta pusaka orang Islam masih tertunggak kerana tidak dapat diuruskan oleh waris-waris.

Bagi memudah dan memantapkan lagi urusan berkaitan dengan hibah dan wasiat orang Islam di Malaysia, maka berikut adalah beberapa cadangan yang perlu dilakukan sama ada oleh kerajaan atau agensi-agensi yang terlibat dengan urusan tersebut: 

(1) Penerangan secara berterusan kepada masyarakat berkaitan dengan hibah dan wasiat sama ada melalui media cetak atau elektronik. Begitu juga, pihak-pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri perlu menyediakan khutbah-khutbah Jumaat yang menyentuh berkaitan dengan hibah dan wasiat orang Islam. Di samping itu, guru-guru takmir masjid dan surau perlu diberi pendedahan berkaitan dengan hibah dan wasiat supaya dapat di sampaikan kepada masyarakat sama ada melalui bengkel atau kursus-kursus secara berterusan.

(2) Setiap negeri perlu mewujudkan satu Akta/Enakmen hibah orang Islam secara khusus, kemas dan seragam bagi memudahkan sebarang rujukan dibuat apabila timbul persoalan tentang hibah. Hal ini penting rujukan Mahkamah Syariah dalam soal menentukan kesahan sesuatu hibah yang dibuat.

(3) Bagi negeri yang belum ada Akta/Enakmen Wasiat orang Islam, maka hendaklah diwujudkan Akta/Enakmen berkenaan sebagai panduan kepada masyarakat Islam dan Mahkamah Syariah dalam soal yang membabitkan wasiat. Bagi negeri yang telah meluluskan Enakmen Wasiat iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, maka perlu diadakan pemurnian (semakan) semula.

(4) Urusan berkaitan dengan wasiat orang Islam hendaklah diserahkan kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang menentukannya. Oleh itu, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan terutamanya Butiran 4(e)(i) dan (ii) Senarai I (Senarai Persekutuan) Jadual ke-9 supaya urusan berkaitan dengan pentadbiran harta pusaka berwasiat dan permohonan probet dan surat kuasa tadbir diuruskan di Mahkamah
Syariah. 

(5) Oleh kerana kini banyak agensi-agensi yang menguruskan tentang perancangan harta orang Islam sama ada hibah, wasiat atau sebagainya maka pemantauan dan pengawasan secara berpusat perlu dilakukan. Walaupun agensi atau syarikat berkenaan telah ada panel syariahnya sendiri, tapi pemantauan dan pengawasan secara berpusat adalah perlu. Saya cadangkan pihak JAKIM memainkan peranan ini.

(6) Jawatankuasa fatwa sama ada di peringkat pusat atau negeri perlu mengeluarkan fatwa yang jelas dan tegas untuk dijadikan garis panduan kepada umat Islam yang ingin melaksanakan hibah dan wasiat supaya sesuai dengan kehendak semasa, di samping menepati hukum syarak.

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim.

Abdul Monir Yaacob. 1999. Wasiat: konsep dan perundangan. Dlm. Abdul Monir Yaacob & Mohd. Fauzi Mustaffa (pnyt.). Pentadbiran harta menurut Islam, hlm. 75 – 97. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Abdul Rashid Haji Abdul Latif. 1986. Wasiat dalam Islam: pengertian dan kedudukannya di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Farraj Husayn. 1986. Ahkam al-wasaya wa al-awqaf fi al-shari ah al-islamiyyah. Beirut: Dar al-Jami iyyah.

Ahmad Hidayat Buang (pnyt.). 2005. Mahkamah Syariah di Malaysia: pencapaian dan cabaran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

al-Alusi, Shihab al-Din Muhammad. 1410H/1990. Ruh al-ma ani fi tafsir al-Quran al- Azim wa al-sab al-mathaniy. Jil. 1. Beirut: Dar al-Turath al- Arabi.

Badran Abu al- Aynayn Badran. 1985. al-Mawarith wa al-wasiyyah wa al-hibbah fi al-shari ah al-islamiyyah wa al-qanun. Misr: Muassasah Shabab al-Jami ah al-Iskandariyyah.

Basyiroh Ahmad. 2007. Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999: satu kajian menurut hukum syarak. Disertasi Sarjana, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bisyuni Ali, Judah Abd al-Ghani & Nasr Farid Muhammad Wasil. 1997. Ahkam al-mirathwa al-wasiyyah fi al-shari ah al-Islamiyyah. t.tp.: t.pt.

Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005.

Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004.

Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999.

Hisham Qublan. 1985. al-Wasiyyah al-wajibah fi al-islam. Beirut: Manshurat Bahr al-Mutawassit.

Ibn Qudamah, Abu Muhammad Abd Allah ibn Ahmad. t.th. al-Mughni. Jil. 6. Beirut: Dar al-Kutb al- Ilmiyyah.

Jurnal Hukum. 2004. Jld XVII(I). Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Jurnal Hukum. 2004. Jld XVIII(I). Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Jurnal Hukum. 2006. Jld. XXI(II). Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2006. Ed. ke-2. Kuala Lumpur:
Suruhanjaya Sekuriti.

al-Kurdiy, Ahmad al-Hajiyy. 1418H/1998. al-Ahwal al-shakhsiyyah. Damshiq: Manshurat Jami ah Damshiq.

Mahamad Arifin et al. 2007. Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Jld. 12. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Md. Akhir Haji Yaacob (Pentejemah). 2002. al-Ahkam al-‘Adliyah – Undang-undang sivilIslam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd NoorAizan Md Idrus. 2007. Rukun, syarat sah hibah mengikut hukum syarak. 
BeritaHarian, 3 Oktober.

Mohd NoorAizan Md Idrus. 2007. Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris.
Berita Harian, 24 Oktober.

Mohd. Ridzuan Awang. 2003. Pelaksanaan harta hibah. Dlm. Mohamad Zaini Yahaya et al. (pnyt.). Isu Syariah dan Undang-undang Siri 12, hlm. 89 – 105. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Ridzuan Awang. 2008. Wasiat kepada ahli waris menurut pandangan fuqaha’ dan kedudukannya di negara-negara Islam. Kertas kerja Bengkel Pemantapan Harta Sumber Am: Wasiat. Anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri. Hotel Quality City Centre, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 28 – 30 April.

Mohd Zamro Muda & Mohd Shukri Jusoh. 2004. Konsep wasiat wajibah dalam Islam. Dlm.
Mohamad Zaini Yahaya et al. (pnyt.). Isu Syariah dan Undang-undang Siri 13, hlm. 23 – 49. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Zamro Muda & Mohd. Ridzuan Awang. 2006. Undang-undang pusaka Islam: pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Mohd Zamro Muda & Sureizai Arshad. 2006. Pengurusan dan tuntutan harta pusaka besar (biasa) orang Islam di Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam, hlm. 113 – 130. Anjuran Bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah pada 8 & 9 Ogos 2006.

Mohd Zamro Muda & Mohd Shukri Jusoh. 2007. Peruntukan undang-undang wasiat wajibah di Mesir dan Selangor: kajian perbandingan. Islamiyyat 27(2): 3 – 23.

Mohd Zamro Muda et al. 2008. Pengantar undang-undang dan pentadbiran pusaka, wasiat dan wakaf orang Islam di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Mohd Zamro Muda & Mohd Shukri Jusoh. 2008. Wasiat wajibah: pengenalan dan kaedah
pelaksanaannya. Kertas kerja Bengkel Wasiat Wajibah. Anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor. Shah Alam, 16 Mei.

Mustofa al-Khin, Mustofa al-Bugho & Ali al-Syarbaji. 2003. Kitab Fikah Mazhab Syafie.
Terj. Jld 5 . Kuala Lumpur Pustaka Salam Sdn Bhd.

Muhammad Abu Zahrah. 1398H/1978. Sharh qanun al-wasiyyah. Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi.

Muhammad Ramiz Abd al-Fattah al-Azizi. 2003. al-Mirath wa al-wasiyyah. Jordan: Dar al-Furqan li al-Nashr wa al-Tawzi .

Muhammad al-Zuhayli. 2001. al-Fara’id wa al-mawarith wa al-wasaya. Beirut: Dar al-Kalam al-Tayyib.

Mustofa al-Khin, Mustofa al-Bugho & Ali al-Syarbaji. 2003. Kitab Fikah Mazhab Syafie.
Terj. Jld 5 . Kuala Lumpur Pustaka Salam Sdn Bhd.

Mustofa al-Khin, Mustofa al-Bugho & Ali al-Syarbaji. 2004. Kitab Fikah Mazhab Syafie.
Terj. Jld 6 . Kuala Lumpur Pustaka Salam Sdn Bhd.

Nor Adila Mohd Noor. 2007. Teori dan praktis pentadbiran harta wasiat di mahkamah:
perbandingan antara undang-undang Islam dan Sivil. Disertasi Sarjana, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan.

Prosiding Konvensyen perwarisan harta Islam 2007. Kuala Lumpur: Amanah Raya Berhad.

Rang Undang-undang Wasiat Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2001.

Ridzuan Awang. 1994. Undang-undang tanah Islam: pendekatan perbandingan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Mashitoh Mahamood. 2006. Bidang kuasa pentadbiran harta pusaka di Malaysia: perspektif perundangan Syariah dan Sivil. Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam, hlm. 113 – 130. Anjuran Bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah pada 8 & 9 Ogos 2006.

Siti Mashitoh Mahamood (pnyt.). 2006. Harta amanah orang Islam di Malaysia: perspektif undang-undang dan pentadbiran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

al-Sayyid Sabiq. t.th. Fiqh al-sunnah. Jil. 3. Kaherah: Maktabah Dar al-Turath.

al-Siba' i, Mustafa. 1417H/1997. Sharh qanun al-ahwal al-shaksiyyah. Jil. 2. Damshiq: Maktabat al-Islami.

Tajul Aris Ahmad Bustami. 2004. Pentadbiran wasiat orang Islam di Malaysia: perkembangan dan permasalahan. Kanun 16(1): 1-19.

Wahbah al-Zuhayli. 1989. al-Fiqh al-Islami wa adillatuh. Juz. 5 & 8. Damsyiq: Dar al-Fikr.

Zaini Nasohah. 2006. Pelaksanaan wasiat di Mahkamah Syariah. Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam, hlm. 113 – 130. Anjuran Bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah pada 8 & 9 Ogos 2006.

* Kertas kerja ini dibentangkan pada Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008, anjuranJAKIM pada 7 Ogos 2008 bertempat di Dewan Sebaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, KualaLumpur.

************************************

nota di kaki posting

Kertas kerja ini telah disalin dari format asalnya iaitu PDF. Saya telah cuba meminimakan perubahan format asal yang telah dibuat oleh penulisnya Encik Mohd Zamro Muda. Namun begitu saya ingin memohon maaf dari penulis asal jika kedapatan perubahan yang sukar untuk dielakkan memandang PDF converter yang digunakan agak kurang efektif. 

Memandangkan kertas kerja yang disalin semula ini agak panjang (Format PDF 38 mukasurat) , kemungkinan kesilapan sewaktu menyunting boleh berlaku. Pembaca boleh merujuk kepada salinan asal PDF oleh Encik Mohd Zamro Muda di islam.gov.my

Terima kasih
pep & coy

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title